PEMBERITAHUAN

SILA KUNJUNGI LAMAN WEB KAMI UNTUK INFORMASI TERBARU TENTANG PROGRAM ILMU HIKMAH.

Khamis, 11 April 2013

Pemantapan al-Quran

Tidak seperti penerbitan bahan-bahan yang lain, penerbitan al-Quran memerlukan komitmen yang tinggi, fokus mendalam serta kerjasama yang mantap daripada pelbagai pihak.

Dalam bidang penerbitan al-Quran yang semakin mencabar dan penuh penelitian, usaha itu memerlukan disiplin dan kegigihan agar kesucian kitab suci itu terpelihara dan terjaga. Malah pelaksanaan berkenaan sebenarnya untuk membantu masyarakat membaca al-Quran dengan betul.

Sehubungan itu, pihak Telaga Biru Sdn. Bhd. ingin mengetengahkan produk terbaru iaitu al-Quran al-Karim dengan Panduan Waqaf dan Ibtida' bersaiz kecil bagi merancakkan lagi penulisan al-Quran tanah air.

Jika sebelum ini Telaga Biru mengeluarkan al-Quran dengan Panduan Waqaf dan Ibtida' bersaiz 214 milimeter x 292 milimeter tetapi terbaru yang bersaiz 135 milimeter x 192 milimeter dijual pada bernilai RM55 ini dilihat lebih mesra pengguna.

Seperti sedia maklum di dalam al-Quran, terdapat ayat-ayat yang agak panjang dan memerlukan nafas yang panjang untuk dihabiskan. Rata-rata masyarakat kita pada hari ini tidak dapat menamatkan ayat tersebut dengan satu nafas sahaja, mungkin memerlukan tiga atau empat kali berhenti untuk menamatkan ayat tersebut.

Oleh itu, konsep di dalam al-Quran ini meletakkan cara-cara bagaimana untuk berhenti pada mana-mana kalimah dan di mana tempat yang sesuai untuk memulakan kembali bacaan tersebut dengan menggunakan warna.

Dalam bacaan al-Quran, terdapat kaedah dan tempat tertentu untuk memberhentikan dan memulakan bacaan dengan betul. Kita tidak boleh memberhentikan bacaan dan memulakannya semula sesuka hati dan di mana-mana tempat.

Sekiranya kita berbuat demikian, dibimbangi akan merosakkan makna sesuatu ayat, seterusnya melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika membaca al-Quran.

Perlakuan ini akan dinilai sebagai dosa di sisi Allah sekiranya kita tidak mempelajarinya dan boleh mengundang kemurkaan-Nya. Kita tidak mahu tergolong dalam golongan yang dinyatakan oleh isteri Nabi Muhammad SAW, Aisyah bermaksud: "Berapa orang daripada pembaca yang membaca al-Quran sedangkan al-Quran melaknat pembacanya."

Walaupun dalam al-Quran sudah terdapat tanda-tanda waqaf yang sedia ada, namun masih banyak ayat panjang yang memerlukan tempat berhenti yang betul dan cara memulakannya semula tanpa merosakkan maknanya.

Konsep ini diolah bukan untuk menyaingi tanda-tanda bacaan sedia ada, apatah lagi menafikannya. Sebaliknya, untuk memberi panduan kepada pembaca yang ingin memberhentikan bacaan dan memulakannya kembali pada ayat-ayat tertentu tanpa merosakkan maknanya.

Konsep itu digarap oleh dua tenaga pakar iaitu Tan Sri Hassan Azhari yang merupakan tokoh qari tanah air dan ahli akademik, Prof. Madya Dr. Abdul Rauf Hassan Azhari yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini.

Gabungan kepakaran dan pengalaman mereka berdua dapat diterjemahkan melalui penerbitan Al-Quran al-Karim dengan Panduan Waqaf dan Ibtida' ini. Malah ia juga telah mendapat penilaian dan penelitian daripada bekas Pengerusi Lembaga Tashih al-Quran Mesir, Syeikh Mahmud Amin Tantawi yang merupakan mantan Pengerusi Lembaga Tashih al-Quran Mesir.

Untuk makluman, al-Quran ini merupakan satu panduan di dunia dan Malaysia yang telah digunakan oleh para qari pada Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa pada 2012 dan bakal digunakan tahun ini juga.

Orang ramai boleh memilih sama ada warna biru atau merah jambu. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.telagabiru.net.my atau hubungi 03-6275 4070.

Penulis : Juani Munir Abu Bakar
Sumber : Utusan Malaysia

Tags : pemantapan al quran

Tiada ulasan:

Catat Ulasan