PEMBERITAHUAN

SILA KUNJUNGI LAMAN WEB KAMI UNTUK INFORMASI TERBARU TENTANG PROGRAM ILMU HIKMAH.

Khamis, 9 Mei 2013

Berbakti Kepada al-Quran

Pengkajian  terhadap sejarah kehidupan ulama dalam bidang al-Quran dan penghayatan mereka terhadap al-Quran menginsafkan diri sendiri betapa jauhnya diri dengan al-Quran. Mereka menghabiskan banyak masa dengan al-Quran sama ada dalam pengajaran atau penulisan.

Syeikh Amir Sayyid Uthman umpamanya merupakan tokoh yang amat disegani dalam ilmu al-Quran pada zaman beliau. Diceritakan bahawa di mana sahaja kamu berjumpa dengan Syeikh Amir pasti kamu akan dapati ada seseorang di sampingnya sedang membaca al-Quran bertalaqqi daripadanya. Walaupun ketika beliau sedang menunggu teksi atau dalam kapal terbang pasti ada seorang murid membaca al-Quran di sisi beliau.

Ulama silam menghabiskan masa dengan menjadi khadam kepada al-Quran. Mulut mereka selalu membaca al-Quran walau di mana sahaja berada. Perkara ini amat berlainan dengan adat masyarakat kita yang selalu membaca al-Quran dalam program tertentu sahaja. Bahkan pada hari Jumaat, al-Quran tersimpan dengan rapi di rak-rak dalam ruangan masjid tanpa disentuh. Orang yang membacanya akan dipandang dengan pandangan yang pelik.

Khamis, 2 Mei 2013

Nabi Musa Mencari Ilmu

Alhamdulillah, setelah selesai kita membincangkan berkenaan dengan Ashab al-Kahfi penulis ingin meneruskan lagi perbincangan daripada surah yang sama tetapi berkenaan dengan kisah Nabi Musa AS. Penulis memulakan dengan ayat 60 hingga 64.

Pada ayat 60 ini Ibnu Kathir berkata: Sebab perkataan Musa kepada pemuda yang bersamanya, yakni Yusya' bin Nun tersebut adalah bahawa ia memberitahu kepadanya bahawa (ada) seorang hamba Allah SWT di tempat pertemuan dua laut, dia mempunyai ilmu pengetahuan yang tidak dikuasai oleh Musa. Maka Musa pun tertarik untuk pergi ke tempat itu. Dan ia berkata kepada pemuda tersebut: "Aku tidak akan berhenti berjalan," maksudnya aku akan terus berjalan, "Sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan." Maksudnya, tempat itulah yang merupakan tempat pertemuan dua buah lautan. Qatadah dan beberapa ulama lainnya mengatakan: "Kedua laut itu adalah laut Persia yang dekat dengan Masyriq dan laut Romawi yang berdekatan dengan Maghrib." Muhammad bin Kaab al-Qurazhi mengatakan: "Pertemuan dua laut itu terletak di Thanjah, iaitu di Ijung negeri Maroko."