PEMBERITAHUAN

SILA KUNJUNGI LAMAN WEB KAMI UNTUK INFORMASI TERBARU TENTANG PROGRAM ILMU HIKMAH.

Khamis, 28 Februari 2013

Kesedaran Berwakaf

Wakaf merupakan salah satu elemen ekonomi Islam selain zakat, hibah, faraid dan sebagainya dengan cara pemilik sesuatu harta itu menahan manfaat asetnya daripada sebarang urusan termasuk jual beli di samping mengekalkan sumber fizikal untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Daripada istilah syarak tersebut, selain ia merupakan satu cara mendekatkan diri kepada Allah melalui cara menyerahkan harta kekayaan kepada jalan Allah SWT, tetapi ibadah tersebut dilihat membantu serta meningkatkan ekonomi umat Islam.

Lihat sahaja perintis amalan wakaf dalam Islam yang dimulakan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri apabila baginda membina masjid Quba pada peristiwa hijrah sehingga perkara itu telah menyebabkan Islam berkembang luas sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan pembinaan Masjid Nabawi di Madinah yang juga dibina dengan sumber wakaf.

Firman Allah dalam ayat 92 surah al-Imran yang bermaksud:
"Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkah, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya."
Amalan wakaf yang memberi manfaat kepada seluruh umat seperti mana yang terdapat dalam ayat al-Quran di atas telah diteruskan oleh para sahabat dan generasi seterusnya dalam memartabatkan dan mengangkat syiar Islam di seluruh dunia seperti mana Universiti al-Azhar, Mesir yang dibina di atas nama wakaf dan kesannya telah melahirkan ramai graduan pelbagai bidang pada setiap tahun.

Berdasarkan sebuah hadis riwayat Muslim iaitu yang bermaksud: Apabila mati anak Adam, akan terhentilah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (harta yang diwakafkan), ilmu yang dimanfaatkannya dan anak soleh yang mendoakannya.

Maka daripada intipati hadis tersebut, orang ramai diseru melakukan amalan wakaf dengan manfaat boleh diterima oleh seluruh masyarakat termasuk bukan beragama Islam.

Amalan wakaf turut dilaksanakan oleh umat Islam negara ini sejak dahulu lagi dengan kebanyakan pusat pengajian agama, masjid dan tanah perkuburan didirikan di atas tapak tanah wakaf. Kesedaran amalan wakaf telah disambung oleh generasi hari ini sehingga terbinanya satu perbadanan untuk mengurus harta wakaf khususnya di negeri Selangor yang dinamakan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).

Kejayaan

Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Abu Bakar Yang ketika ditemui memberitahu, sejak perbadanan itu ditubuhkan pada 2011 khas bagi mengurus wakaf di negeri itu, sebanyak RM2 juta telah berjaya dikumpul, bahkan jumlah itu telah meningkat kepada RM3 juta pada tahun ini.

Pertambahan jumlah itu menurut Abu Bakar disumbangkan demi objektif untuk memperkasakan penubuhan PWS yang bertujuan meningkatkan pengurusan harta wakaf dan membudayakan amalan itu ke arah membangunkan ekonomi ummah secara sistematik dan menyeluruh berdasarkan hukum syarak.

Jelas beliau, berbanding sebelum ini pengurusan wakaf dikendalikan oleh satu unit di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

"Apabila tenaga kerja sudah bertambah, maka usaha untuk memperbanyakkan promosi PWS diperluaskan ke seluruh daerah di Selangor dengan khutbah dan ceramah agama berkaitan amalan wakaf. Malah kesempatan kemudahan yang wujud pada hari ini, kami mempromosikan wakaf melalui saluran media massa.

"Selain itu, banyak program sedang dirancang dalam usaha memberi penerangan berhubung manfaat dan kebaikan amalan wakaf kepada masyarakat umat Islam. Di sini PWS dilihat sama taraf dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS)," kata beliau.

Abu Bakar kemudian memberitahu, salah satu program yang sedang dilakukan oleh pihaknya adalah Bulan Mesra Industri (Bumi) yang berlangsung selama tiga bulan bermula Oktober lalu. Ia turut mensasarkan golongan korporat untuk melibatkan diri dalam amalan wakaf.

Abu Bakar memberitahu lagi bahawa Bumi adalah program kedua dianjurkan oleh PWS selepas Bulan Wakaf iaitu pada Rejab, Syaaban dan Ramadan lalu.

Objektif Bumi

Mengulas lanjut berhubung penganjuran Bumi 2012, Abu Bakar memberitahu tujuan utama program itu adalah satu dakwah berterusan PWS dalam memberi kesedaran kepada syarikat swasta, anak-anak syarikat berkaitan kerajaan, sama ada negeri atau kerajaan pusat serta seluruh warga korporat tentang kepentingan ibadah wakaf sebagai pemangkin ekonomi umat Islam.

Atas kesedaran itu, pihak beliau memberikan kefahaman secara menyeluruh dan jelas tentang ibadah wakaf terutamanya Saham Wakaf Selangor (SWS) di samping menyeru mereka menghayati seterusnya mempraktikkan amalan mulia tersebut.

"Kebiasaannya pada hujung tahun, setiap syarikat akan melakukan proses kewangan untuk menutup akaun mereka. Sehubungan itu, kita mengerakkan Bumi pada saat-saat ini untuk menarik mereka menyertai amalan wakaf.

"Bahkan bukan sahaja sesuatu institusi, para pekerja yang berminat untuk menunaikan ibadah wakaf melalui cara potongan gaji, kaedah itu turut digalakkan," jelas Abu Bakar selepas Majlis Mesra Korporat PWS yang diadakan di Shah Alam, baru-baru ini.

Menjelaskan dana wakaf yang dikumpul itu, ia akan menjadi satu sumber dana wakaf umat Islam yang besar dalam memajukan pembangunan ekonomi dan sosial melalui pembangunan aset kekal wakaf.

Dana yang dikumpulkan melalui pelbagai cara termasuk potongan gaji pekerja industri akan digunakan untuk tujuan aset kekal wakaf contohnya tanah seperti mana yang ditetapkan oleh fatwa Negeri Selangor.

"Bumi akan menjadi satu acara tetap kalendar tahunan PWS agar masyarakat industri mengetahui dan menantikan kehadiran program ini dan pihak kami akan mengunjungi syarikat-syarikat swasta dan institusi untuk turun padang dengan mengadakan program-program seperti forum perdana, khutbah Jumaat dan lain-lain lagi bertujuan menyedarkan mereka berhubung amalan wakaf," kata beliau.

Oleh : Juani Munir Abu Bakar
Sumber : Utusan Malaysia

Tags : faraid, hibah, lembaga zakat selangor, majlis agama islam selangor, masjid quba, perbadanan wakaf selangor, saham wakaf, saham wakaf selangor, wakaf, zakat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan